Rang Undang-undang Agensi Pelaporan Kredit 2009 Dibentang Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Selepas mendapat pelbagai reaksi dan bantahan daripada banyak pihak mengenai tindakan agensi rujukan kredit khasnya Credit Tips Off Sdn Bhd (CTOS) mendedahkan maklumat pelanggan yang ingin mendapatkan pinjaman kepada bank, Rang Undang-Undang Agensi Pelaporan Kredit 2009 akhirnya dibentangkan di Parlimen Rabu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin membentangkan rang undang-undang yang mempunyai 77 fasal dan 9 bahagian itu di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Rang undang-undang yang akan dinamakan Akta Agensi Pelaporan Kredit 2009 itu, antara lain, bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai pendaftaran dan pengawalseliaan semua agensi pelaporan kredit yang melibatkan pemprosesan maklumat kredit pelanggan yang mungkin terdiri daripada individu, pertubuhan perbadanan atau badan tidak diperbadankan.

Menurut rang undang-undang itu, melalui pengawalseliaan agensi pelaporan kredit, kepentingan pelanggan terpelihara dan ini seterusnya akan memberi keyakinan di kalangan orang yang terlibat dalam transaksi komersial yang berkaitan dengan pertukaran maklumat kredit.

Rang undang-undang itu juga bertujuan mewujudkan jawatan Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit dan pegawai lain yang akan bertanggungjawab bagi mentadbir dan melaksanakan peruntukannya.

Menurut rang undang-undang itu, Menteri hendaklah melantik seorang pegawai awam yang dikenali sebagai "Pendaftar Agensi Pelaporan" bagi maksud menjalankan fungsi dan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah akta sama.

Seterusnya rang undang-undang itu menyenaraikan fungsi pendaftar iaitu antara lain bertanggungjawab bagi pemantauan, pengawalan, penyeliaan dan pengawalseliaan agensi pelaporan kredit.

Selain itu, fasal 10 juga bertujuan untuk mengekalkan kerahsiaan maklumat kredit pelanggan dengan menyekat menteri dan pendaftar daripada menyiasat secara khusus mengenai hal-ehwal mana-mana pelanggan tertentu.

Fasal 11 pula melarang mana-mana orang daripada menjalankan perniagaan pelaporan kredit melainkan jika ia adalah suatu syarikat dan telah didaftarkan sebagai suatu agensi pelaporan kredit dan suatu perakuan pendaftaran telah dikeluarkan kepadanya di bawah akta sama.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan syarikat berkenaan dikenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM1 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

--BERNAMA November 18, 2009 17:18 PM

No comments:

Post a Comment