ATURAN URUSAN MESYUARAT DAN USUL-USUL (16hb Disember 2010)

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan:

"Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 86 (5) dan keputusan Usul yang diluluskan oleh Dewan ini pada 22 April 2010, maka Penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dibentangkan di atas Meja Mesyuarat di dalam Dewan ini sebagai Kertas Dewan No. DR 3 Tahun 2010 hendaklah diterima dan dipersetujukan.”

2. Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan:

BAHAWA pada 3 Disember 2010, Yang Berhormat Tuan Karpal Singh, Ahli Parlimen kawasan Bukit Gelugor dan Yang Berhormat Tuan R. Sivarasa, Ahli Parlimen kawasan Subang yang merupakan ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan telah membuat kenyataan di luar Dewan berkenaan prosiding Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa mesyuarat pada 3 Disember 2010.

BAHAWA Yang Berhormat Tuan Mohamed Azmin bin Ali, Ahli Parlimen kawasan Gombak melalui pemberitahu bersurat bertarikh 6 Disember 2010 dibawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) telah menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember 2010.

BAHAWA Yang Berhormat Bukit Gelugor, Yang Berhormat Subang dan Yang Berhormat Gombak telah melanggar peruntukan Peraturan mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis.

DAN BAHAWA perbuatan Yang Berhormat Ahli Parlimen kawasan Bukit Gelugor, Yang Berhormat Ahli Parlimen kawasan Subang dan Yang Berhormat Ahli Parlimen kawasan Gombak adalah satu perbuatan menghina dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.

MAKA INILAH DIPERSETUJUI BAHAWA Yang Berhormat Ahli Parlimen kawasan Bukit Gelugor, Yang Berhormat Ahli Parlimen kawasan Subang dan Yang Berhormat Ahli Parlimen kawasan Gombak hendaklah digantung daripada tugasnya sebagai Ahli Parlimen selama 6 bulan. "

No comments:

Post a Comment