ATURAN URUSAN MESYUARAT DAN USUL-USUL

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan:-

“BAHAWA mengikut Peraturan 81 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Majlis ini mengambil ketetapan berikut:

(a) Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dilantik bagi mengkaji perkara-perkara berkaitan proses pilihan raya Malaysia;

(b) Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut hendaklah terdiri daripada sembilan (9) Ahli Dewan Rakyat seperti yang berikut:

(i) lima (5) anggota daripada Barisan Nasional (termasuk seorang Menteri sebagai Pengerusi);
(ii) tiga (3) anggota daripada pembangkang; dan
(iii) satu (1) anggota selain anggota daripada Barisan Nasional atau pembangkang. (Bebas)

Jika Pengerusi yang dipilih tidak hadir dalam sesuatu Mesyuarat, Jawatankuasa tersebut hendaklah memilih seorang Pengerusi dari kalangan Anggota-anggota Jawatankuasa yang hadir yang akan memegang jawatannya hanya pada hari ia dipilih itu sahaja;

(c) Tempoh masa pelantikan Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut adalah selama enam (6) bulan. Jika Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut tidak dapat melaksanakan tugas-tugas yang diserahkan dalam tempoh tersebut, perkara ini hendaklah dibawa semula ke Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi maksud pelanjutan tempoh pelantikan;

(d) Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut hendaklah mengkaji perkara-perkara yang akan memperkukuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengkaji proses pilihan raya yang bebas dan adil; dan

(e) Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut hendaklah menyiapkan dan membentangkan penyata Jawatankuasa yang mengandungi syor-syor berkaitan dan penyata Jawatankuasa tersebut hendaklah dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk dipersetujukan atau mengikut apa-apa cara yang diperintahkan oleh Majlis Mesyuarat tersebut.”

No comments:

Post a Comment